Saturday, November 22, 2008

MALAYSIA KUTUK KEKEJAMAN REJIM ZIONIS

Utusan Malaysia -22 November 2008-

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza selepas terlucutnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.Sehubungan itu, Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar bertindak bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan akhbar di sini berkata, langkah itu perlu supaya rejim tersebut segera menghormati undang-undang antarabangsa, akur resolusi PBB dan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap usaha damai oleh pelbagai pihak.

''Pengepungan berterusan ini memburukkan lagi krisis kemanusiaan di kawasan terbabit dan akan menyebabkan bencana kemanusiaan.

''Tindakan agresif Israel yang berlarutan dan mencengkam penduduk Wilayah Gaza, menafikan hak asasi mereka untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan dan tenaga, secara amnya menjadikan kehidupan yang sengsara dan tidak bermakna di Gaza,'' katanya.

Malaysia melahirkan rasa sedih dan hairan apabila melihat masyarakat antarabangsa terus berdiam diri, lesu dan tidak berusaha untuk menangani situasi kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza.

''Malaysia juga mendesak Majlis Keselamatan PBB mengetepikan perbezaan politik dan ideologi di atas nama perikemanusiaan dan menyelamatkan penduduk Gaza terutama kaum wanita dan kanak-kanak daripada tindakan agresif rejim Zionis,'' tegasnya.

Friday, November 21, 2008

PENDATANG YAHUDI CEMAR MASJIDIL AQSA, HINA NABI MUHAMMAD SAW!

Utusan Malaysia - 21 November 2008 -
HEBRON 20 Nov. - Sekumpulan pendatang haram Yahudi yang membantah perintah mahkamah Israel supaya mereka diusir dari sebuah rumah milik Palestin di bandar ini bertindak mencemarkan kesucian sebuah masjid dan merosakkan beberapa batu nisan sebelum subuh hari ini.

Pendatang itu menconteng kata-kata penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan orang Arab pada dinding depan sebuah masjid dan melukis lambang Israel, Bintang David pada beberapa batu nisan di sebuah tanah perkuburan Islam, kata saksi.
Masjid dan tanah perkuburan itu terletak dekat rumah yang terus diduduki oleh berpuluh-puluh pelampau Yahudi tanpa menghiraukan perintah Mahkamah Tinggi Israel yang memberi tempoh sehingga Rabu lepas untuk mereka beredar atau berhadapan tindakan pengusiran dari situ.

Pendatang itu mendakwa rumah empat tingkat itu telah dibeli dengan harga AS$700,000 (RM2.45 juta) daripada seorang penduduk Palestin, Faez Rajabi.

Bagaimanapun Faez menafikan dia telah menjual rumah tersebut malah menegaskan dia mempunyai dokumen yang boleh membuktikan dia adalah pemilik sah dan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian jual beli.

Mahkamah juga menyatakan, dokumen yang dikemukakan oleh pendatang Yahudi untuk membuktikan pemilikan "didapati oleh penyiasat polis sebagai palsu."

Thursday, November 20, 2008

PENGANUT ISLAM DI MALAYSIA TIDAK BOLEH TUKAR AGAMA

Berita Harian -20 November 2008-

PUTRAJAYA: Konsep kebebasan beragama tidak terpakai bagi umat Islam di negara ini, kata seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi hari ini. Datuk Faiza Tamby Chik berkata berdasarkan undang-undang di negara ini, tidak mudah bagi seorang penganut Islam untuk keluar daripada agama itu. Sambil mengambil contoh kes murtad Lina Joy, Faiza berkata dalam penghakimannya, mahkamah tinggi memutuskan bahawa mengikut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan terus kekal sebagai penganut Islam hingga akhir hayatnya.

“Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ’Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan’ pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa (ISCOM 2008) yang berakhir hari ini. Seminar dua hari anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut disertai ilmuan dari universiti Sydney, Syria dan Filipina. Kini, Faiza berkhidmat sebagai fellow di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Bekas hakim itu berkata mahkamah berkenaan juga memutuskan bahawa sekiranya seseorang bukan Melayu memeluk Islam dan kemudian membuat keputusan untuk keluar daripada agama itu, dia perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri berkenaan, yang akan membuat keputusan tentang rancangannya itu. - Bernama

Thursday, November 13, 2008

JANGAN TERLALU HARAPKAN OBAMA - HIZBULLAH

Utusan Malaysia : 13 Nov 2008

BEIRUT 12 Nov. - Pemimpin Hizbullah Lebanon, Hassan Nasrallah mengingatkan penyokongnya supaya jangan terlalu mengharapkan perubahan pada dasar luar Amerika Syarikat (AS) berikutan pemilihan Barack Obama sebagai Presiden AS.
Beliau memberi peringatan itu sewaktu berucap sempena Hari Syuhada anjuran Hizbullah di pinggir Beirut selatan, semalam.

"Dunia Arab, dunia ketiga dan dunia Afrika boleh mengaitkan diri dengan Obama disebabkan asal usulnya atau warna kulitnya tetapi politik dan kepentingan adalah soal lain.
"Jangan terlalu menaruh harapan atau memberi harapan menggunung kepada orang lain supaya tidak ada sesiapa yang akan menjadi kecewa atau tersilap langkah," kata Hassan.
Ucapan beliau disiarkan kepada beriburibu penyokong menerusi skrin televisyen besar selepas pejuang Hizbullah berarak dalam satu perbarisan ketenteraan. Orang ramai mengibarkan bendera kuning Hizbullah dan bendera kebangsaan Lebanon sambil bertepuk sorak.

"Saya tidak mahu meramalkan perkembangan akan datang tetapi secara rasionalnya kita tidak harus mengharapkan perubahan dalam soal menghapuskan kezaliman atau percaya beliau akan bersikap lebih bertolak ansur atau lebih adil berbanding Presiden terdahulu," kata Hassan merujuk kepada Obama.

Beliau bagaimanapun menyatakan keputusan pilihan raya AS itu membuktikan kegagalan dasar-dasar Presiden George W. Bush selama ini.

- AFP

Tuesday, November 11, 2008

ULAMA' SYIAH DAN SUNNI IRAQ AJAK RAKYAT BERSATU

Berita terkini :
Isnin, 10 November 2008


Ulama Syiah dan Sunni Irak menegaskan perlunya memperkuatkan persatuan di seluruh lapisan masyarakat di Irak sebagai benteng terampuh dalam melawan segala budaya dan fahaman yang merosakkan. IRIB melaporkan, ulama Syiah dan Sunni hari Isnin (10/11/08) dalam seminar kedua yang di mulai kelmarin di kota Najaf al-Asyraf mengeluarkan pernyataan yang menyeru pentingnya pengukuhan persatuan umat Islam bagi menghadapi serangan baik dari dalam mahupun dari luar.

Ulama Syiah dan Sunnia dalam pernyataan mereka menekankan pentingnya mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan hak-hak rakyat negara ini. Kepada seluruh rakyat Irak juga ditekankan untuk turut serta dalam pilihanraya wakil rakyat setiap daerah. Kenyataan yang dikeluarkan itu juga mengutuk tindakan-tindakan pengganas yang dilakukan terhadap masyarakat Irak.

Saturday, November 1, 2008

'NAKBAH' BERMULA ERA PENJAJAHAN REJIM ZIONIS

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya.

Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai “nakbah”. Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar.

Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta) ke luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah.

Antaranya peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 kanak-kanak.

Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui setiausaha negara hal-ehwal luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanahair di Palestin.

Pengisytiharan itu telah digelar 'Ominous Declaration' (Pengisytiharan Celaka).

Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah Jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.

Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitul Maqdis) diletakkan bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.

Penderitaan yang dialami oleh penduduk palestin hingga kini masih belum berakhir walau mereka telah mencuba pelbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut.

Antaranya, dengan melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemua cara ini telah menemui kegagalan.

Oleh kerana semua cara ini tidak berhasil, maka rakyat Palestin telah memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.

Dalam usaha membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.

Yahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas yang sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa lagi.

Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin bukanlah sebagai pemilik tetapi sebagai imigran pada ketika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.

Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin, malahan pemerintahan mereka hanya berlangsung selama empat kurun, sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636 M – 1917 M).

Ramai daripada Yahudi juga suatu ketika dahulu telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengan tanah itu terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M hingga 20M).

Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4,500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948.

Namun mereka tidak pernah menyerah kalah, malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.

Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis - ia adalah bumi suci tempat ramai para rasul dilahirkan dan wafat di sana.

Ia juga medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah dengan kewujudan masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping menjadi kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah dan tanah suci ketiga setelah Makkah dan Madinah.

Rasulullah bersabda, “diutamakan (digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitul Maqdis dengan lima ratus solat” (hadis riwayat at-Tabrani, martabat hassan).

Selain itu, Baitul Maqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan masjid itu di sepanjang kehidupan Rasulullah di Mekah sebelum berhijrah dan juga selama 16 bulan pertama baginda di Madinah. Selepas itu Allah mengarahkan agar kiblat bertukar ke arah Kaabah di Mekah.

Baitul Maqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj.

Firman Allah: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami (al-Isra’: 1)

Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah yang menggambarkan keistimewaan Baitul Maqdis. Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya yang menyebabkan para sahabat Rasulullah sangat menyayangi bumi Palestin.

Malah ketika Umar al-Khattab menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah merupakan waqaf kepada generasi umat Islam akan datang.

Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitul Maqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufar berkurun lamanya. Kini, Baitul Maqdis kembali ke tangan kufar, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?

Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitul Maqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum muslimin dari timur sampai ke barat.

Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufar adalah perjuangan kita bersama.

(Artikel Penuntut ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Sains Islam Malaysia)