Thursday, November 13, 2008

JANGAN TERLALU HARAPKAN OBAMA - HIZBULLAH

Utusan Malaysia : 13 Nov 2008

BEIRUT 12 Nov. - Pemimpin Hizbullah Lebanon, Hassan Nasrallah mengingatkan penyokongnya supaya jangan terlalu mengharapkan perubahan pada dasar luar Amerika Syarikat (AS) berikutan pemilihan Barack Obama sebagai Presiden AS.
Beliau memberi peringatan itu sewaktu berucap sempena Hari Syuhada anjuran Hizbullah di pinggir Beirut selatan, semalam.

"Dunia Arab, dunia ketiga dan dunia Afrika boleh mengaitkan diri dengan Obama disebabkan asal usulnya atau warna kulitnya tetapi politik dan kepentingan adalah soal lain.
"Jangan terlalu menaruh harapan atau memberi harapan menggunung kepada orang lain supaya tidak ada sesiapa yang akan menjadi kecewa atau tersilap langkah," kata Hassan.
Ucapan beliau disiarkan kepada beriburibu penyokong menerusi skrin televisyen besar selepas pejuang Hizbullah berarak dalam satu perbarisan ketenteraan. Orang ramai mengibarkan bendera kuning Hizbullah dan bendera kebangsaan Lebanon sambil bertepuk sorak.

"Saya tidak mahu meramalkan perkembangan akan datang tetapi secara rasionalnya kita tidak harus mengharapkan perubahan dalam soal menghapuskan kezaliman atau percaya beliau akan bersikap lebih bertolak ansur atau lebih adil berbanding Presiden terdahulu," kata Hassan merujuk kepada Obama.

Beliau bagaimanapun menyatakan keputusan pilihan raya AS itu membuktikan kegagalan dasar-dasar Presiden George W. Bush selama ini.

- AFP

No comments: