Tuesday, December 30, 2008

"MUSLIM WAJIB PERTAHANKAN WILAYAH GAZA" -IMAM ALI KHAMENA'I

Berita Harian : 29 Disember 2008
Pemimpin Iran kemuka fatwa, tokoh Palestin gesa intifada baru dilancar lawan Israel
TEHERAN: Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mengeluarkan fatwa kepada penduduk Muslim di seluruh dunia supaya mempertahankan Palestin daripada serangan Israel di Gaza. "Semua pejuang Palestin dan semua orang Islam yang beriman di seluruh dunia perlu mempertahankan wanita yang tidak dapat mempertahankan diri mereka, kanak-kanak dan rakyat Gaza dengan apa cara sekali pun.

"Sesiapa yang terkorban dalam perjuangan ini adalah dianggap sebagai mati syahid," televisyen kerajaan memetik Khamenei sebagai berkata, semalam. Israel meneruskan serangan udara terhadap Gaza bagi hari kedua semalam dan mengorbankan 280 orang dalam konflik paling buruk berpunca daripada keganasan negara Yahudi berkenaan. Pemimpin Israel berkata, serangan itu adalah tindakan balas kepada bedilan roket hampir setiap hari oleh pejuang Palestin di Gaza yang diperhebatkan selepas gencatan senjata selama enam bulan tamat.

Iran yang enggan mengiktiraf Israel dituduh Tel Aviv membekalkan senjata kepada Hamas. Teheran menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia hanya memberi sokongan moral kepada kumpulan berkenaan. Khamenei juga mengecam beberapa kerajaan Arab kerana bersikap mendiamkan diri berhubung serangan udara Israel terhadap Gaza. Sementara itu, di DAMSYIK, pemimpin biro politik Hamas, Khaled Meshaal mendesak rakyat Palestin supaya melancarkan intifada terbaru terhadap Israel, termasuk dengan melakukan misi bunuh diri. Dalam temu ramah dengan stesen televisyen al-Jazeera, Meshaal berkata: "Kami menyeru intifada ketenteraan terhadap musuh kami. Penentangan akan diteruskan menerusi misi bunuh diri."

Hamas tidak melakukan sebarang serangan bunuh diri terhadap Israel sejak Januari 2005. Intifada atau penentangan besar-besaran pertama tercetus pada 1988, diikuti dengan perjanjian damai Oslo 1993, yang memberi sedikit autonomi kepada rakyat Palestin menerusi pembentukan Pihak Berkuasa Palestin.
Intifada kedua tercetus pada 2000 dan berakhir kira-kira tiga tahun kemudian. Meshaal berkata, Hamas menerima 'semua usaha untuk keamanan, tetapi ia tidak berhasil'. Katanya, bagi membolehkan rundingan dilakukan dengan rakyat Gaza, sekatan perlu ditarik balik dan laluan (dari Israel) dibuka, terutama di Rafah,' menghala ke Mesir. Meshaal merujuk kepada sekatan Israel ke atas Gaza selepas Hamas merampas kawasan padat penduduk itu daripada pasukan keselamatan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Jun lalu. Israel, Amerika Syarikat dan kuasa dunia lain menyifatkan Hamas sebagai kumpulan pengganas. Meshaal berkata beliau terbuka pada usaha perdamaian dengan Mahmoud, tapi mahukan Presiden Palestin itu menghentikan rundingan damainya dengan Israel. "Serangan roket mahupun operasi bunuh diri tidak membawa kepastian, tapi rundingan boleh mendatangkan hasil," katanya. – AFP/Reuters

CORETAN TAHUN BARU HIJRAH DARI ISLAM KREATIF

Seringkali disetiap tahun baru baik Hijiriah mahupun Masihi, yang pasti mengiringi jutaan umat manusia didunia ini adalah azam dan semangat yang baru. Yang mana azambaru tersebutlah yang akan membentuk manusia kearah keteraturan diri bagaikan sebuah ikrar dan sumpah buat dirinya. Sekiranya azam tersebut terlaksana dengan sempurna kearah kebaikan, maka akan terbentuk seorang insan yang berguna manakala sebaliknya atau pun pengingkaran keatas azam tersebut, kerugian dan kegagalan yang akan diperoleh. Benar atau tidak , Wallahu A’lam! Tanpa mengira kaum, bangsa, perbezaan agama atau mazhab kita pasti ingin menjadikan tahun yang baru ini penuh dengan pembaharuan baik dari segi syakhsiah mahupun yang lain yang bersifat positif. Perpaduan , kasih saying dan hormat antara satu dengan yang lain adalah faktor-faktor yang diperlukan bagi merealisasikan penyatuan umat manusia dan memenuhi isi bumi ini dengan kedamaian dan keamanan.

Seperti biasa di awal tahun baru Islam, diserata dunia umat Islam merayakannya dengan pelbagai sambutan dan majlis bagi meraikannya. Kesempatan terbaik di awal tahun baru hijriah ini adalah dengan membentuk diri dan jiwa kearah baru, malahan dikesempatan ini ada yang berhijrah secara rohani dengan semangat dan azam yang membentuk diri kepada kesempurnaan jiwa, tak kurang juga yang berhijrah secara fizikal dan material. Yang sebenarnya walau apa yang kita lakukan di Tahun baru ini, setidak-tidaknya jadikanlah ianya sesuatu yang bermakna yang bukan untuk diri semata tetapi yang bermanfaat buat semua yang berada di sekitar kita tanpa mengira sebarang perbezaan. Hapuskan segala bentuk sentimen kebencian dan permusuhan serta provokasi yang memusnahkan perpaduan dan nilai-nilai kemanusiaaan.

Pada sebelum ini, di awal tahun baru Islam, berbagai sambutan yang diadakan telah dicemari dengan insiden yang memilukan dan memalukan dunia Islam. Pengeboman keatas orang-orang yang tidak memerangi atau diperangi, sentimen kafir mengkafirkan terhadap golongan minoriti Islam yang melaungkan slogan perpaduan dan keamanan oleh pihak yang menafikan hak persaudaraan dan perdamaian sesama Islam. Apakah dengan cara ini Tahun baru disambut? Dengan cara inikah azam dan niat baru dilaksanakan? Saat musuh Islam zionis bertindak keatas Palestin, Gaza kita berduka tapi tidak berbuat apa-apa, tetapi ketika persaudaraan sesama Islam di cabul, dinafikan hak oleh segolongan pihak kita ingin berduka dan tidak berbuat apa-apa juga? Jangan jadikan Agama dan negara kita seperti yang berlaku di sebahagian tempat yang berperang sesama sendiri gara-gara provokasi dan sentiment anti kepada sesuatu yang membinasakan.

Islam adalah agama yang menitik beratkan hal-hal yang dapat membentuk jiwa sarat dengan hal yang bersifat kerohanian dan perpaduan. Maka dengan ini kami dari pihak Islamkreatif mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijiriah dan Masihi kepada semua pelawat blog kami disertai dengan seruan perpaduan serta kasih sayang demi mewujudkan umat Islam yang bersatu dan terhormat. Akhir kalam, kesejahteraan buat mereka yang mengikuti petunjuk kebenaran.

Sunday, December 28, 2008

MASJID GAZA DIBOM TENTERA UDARA ZIONIS ISRAEL DAN AMERIKA PULA SALAHKAN GERAKAN HAMAS LANGGAR GENJATAN SENJATA !

Berita Harian : 28 Disember 2008

GAZA: Israel mendakwa tentera udaranya berjaya mengebom sebuah masjid di Bandar Gaza semalam selepas kononnya dikenal pasti dijadikan sarang aktiviti pengganas. Pasukan perubatan Palestin berkata, dua rakyat tempatan terbunuh dalam serangan udara itu, sebahagian siri serangan udara oleh Israel ke atas Gaza yang mengorbankan 227 penduduk Palestin dalam tempoh 12 jam semalam. Jurujucakap tentera Israel pula berkata, Israel sebenarnya mengelak daripada menyerang institusi keagamaan tetapi "sesiapa yang menyerang Israel tidak akan menemui sebarang pengganas di dalam kemudahan awamnya."

Beliau berkata, masjid yang dobom itu terletak di sebuah bandar di daerah Rimal. Beliau juga mendakwa, roket Hamas semalam mengenai rumah ibadat Israel. – Reuters

Amerika Syarikat (AS) hari ini menyalahkan Hamas kerana melanggar perjanjian gencatan senjata dan menuduh sengaja memprovokasi Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, semalam. Serangan itu menyaksikan lebih 200 orang terkorban di bandar yang dikuasai kumpulan Islam Palestin itu. Washington bagaimanapun tidak menuntut supaya Israel menghentikan serangan itu, sebaliknya mahu serangan itu tidak disasarkan ke arah orang awam.

"Apa yang kita mahu ialah Hamas menghentikan serangan roket ke arah Israel," kata jurucakap Rumah Putih, Gordon Johndroe. AS dilihat cuba menyingkirkan Hamas sejak ia memenangi pilihan raya Parlimen Palestin, Januari 2006. Pegawai Israel berkata, serangan ke atas Hamas di Tebing Gaza akan berlarutan beberapa waktu.

Raja Saudi, Raja Abdullah dikatakan berbincang dengan Presiden George W Bush mengenai keadaan di Gaza tetapi tiada maklumat terperinci mengenainya. Serangan udara ke atas Gaza itu diputuskan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert untuk memastikan serangan roket oleh Palestin tidak merebak di wilayah negara itu. - Reuters

ISRAEL TERUS SERANG GAZA

Berita Harian :28 Disember 2008

GAZA: Israel melancarkan serangan udara pada hari kedua, hari ini untuk memberi tekanan kepada Hamas dengan 229 terbunuh pada serangan berterusan 24 jam ke atas Palestin dalam konflik yang berlarutan selama 60 tahun itu. "Palestin tidak akan berdiam diri diperkotak-katikkan sebegini," ikrar pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh bahawa kumpulan Islam yang menguasai wilayah pesisir pantai sejak Jun 2007 lalu akan membalas dendam termasuk mengadakan serangan bom berani mati ke atas kafe dan jalan raya Israel. Israel menempatkan kereta kebal dan tentera infantri di sepanjang sempadan Gaza dan jurucakap tenteranya berkata: "Operasi ketenteraan akan berterusan dan kini sedang bersiap sedia."

Negara Yahudi itu mendakwa mereka bertindak balas selepas militan Gaza melancarkan serangan roket dan mortar secara intensif selepas Hamas bersetuju mengadakan gencatan senjata selama enam bulan, minggu lalu. Serangan militan itu menyebabkan kecederaan dan pemimpin Israel dikatakan menerima tekanan dalam persiapan mengadakan pilihan raya pada 10 Februari nanti. Tinjauan umum mendapati kumpulan sayap kanan pembangkang negara itu, Likud diramal akan menang.

Israel berkata, pesawat pejuangnya melancarkan kira-kira 100 serangan pada Sabtu manakala militan Palestin membalas 70 serangan roket ke arahnya, mengorbankan seorang penduduk Israel. "Ada masanya kita berdiam dan ada masa untuk bertindak balas," kata Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak pada siaran televisyen. He kemudian berkata, sebarang perjanjian dengan Hamas tidak boleh dipercayai lagi. Asap tebal hitam boleh dilihat di sekitar bandar Gaza selepas Israel mengebom lebih 40 kawasan keselamatan dengan mayat bergelimpangan serta mangsa yang cedera di sebuah majlis graduasi tentera baru Hamas. - Reuters

Saturday, December 27, 2008

ABDULLAH : AMBIL TINDAKAN TERHADAP BLOG HINA RASULULLAH

Utusan Malaysia : 27 Disember 2008

ALOR GAJAH 27 Dis. — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis mengambil tindakan segera terhadap sebuah laman blog yang dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad SAW.
Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menimbulkan masalah besar dalam negara ini.

“Saya sudah beritahu kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya mengambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas melawat Dusun Buah-Buahan Tropika D-Paradise dekat sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laman blog tersebut yang turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu.

Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat pihak lain.

Abdullah berkata: “Saya baru saja, dalam ucapan Hari Krismas baru-baru ini, mengatakan kita perlulah bersikap toleran, perlu pastikan kehidupan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan berlainan keturunan, kita mesti sentiasa waspada, sentiasa mengingati diri kita, jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keadaan yang tidak kita suka, ini pula hal berkaitan dengan agama”.

- Bernama

Thursday, December 18, 2008

TUDUHAN RAJA PETRA

PUTRAJAYA -7 Sept. -

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakannya membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin berhubung artikelnya dalam blog Malaysia Today yang didakwa menghina Islam dan Rasulullah.Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, laporan polis terhadap penulis blog itu amat perlu untuk membendung kegelisahan di kalangan orang Islam yang berasa tersinggung apabila kesucian agama mereka dihina.Beliau berkata, dengan laporan polis itu, tidak bermakna Jakim tidak boleh berdialog dengan penulis blog itu bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya."Kami mengambil langkah pentadbiran sesuai dengan kedudukan Jakim sebagai sebuah agensi Pusat untuk mencegah dan membendung kegelisahan di kalangan rakyat terutama orang Islam."Jadi saya menolak andaian sesetengah pihak kononnya langkah yang diambil oleh Jakim ini sebagai tidak tepat sebaliknya perlu berdialog dengan penulis blog tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang memetik Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai berkata, tindakan empat agensi Islam termasuk Jakim membuat laporan polis terhadap Raja Petra adalah tidak tepat.Mohd. Asri sebaliknya menegaskan, Jakim sepatutnya mengadakan sesi dialog dengan Raja Petra bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya terhadap Islam sebagai langkah pertama bagi menyelesaikan masalah tersebut.Dalam hubungan ini, Wan Mohamad berkata, Jakim bersedia pada masa bila-bila masa untuk mengadakan sesi dialog dengan mana-mana pihak dan selama ini pihaknya memang sering mengadakan dialog seumpama itu.Justeru, tegas beliau, Asri seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada pihaknya berkaitan perkara tersebut dan tidak menyindir rakan-rakan sejawatan secara terbuka kerana ia satu langkah tidak beretika.

Beliau yang secara terbuka menegur mufti muda itu berkata, forum terbaik bagi Asri untuk menyampaikan kritikan adalah melalui Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang dianggotai mufti-mufti yang jauh lebih berpengalaman."Masalahnya beliau kerap tidak hadir dalam muzakarah tetapi beliau lebih senang menghadiri program yang lebih beliau sukai dan berorientasikan hizbiah (kepartian)."Jadi sudah tiba masanya mufti tersebut dita'dib (diperadabkan), bimbang nanti dia terbelenggu dengan sifat ujub, rasa pandangannya hebat sehingga ada kecenderungan merendah-rendahkan orang lain,'' katanya.

sumber: UTUSAN