Saturday, November 22, 2008

MALAYSIA KUTUK KEKEJAMAN REJIM ZIONIS

Utusan Malaysia -22 November 2008-

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza selepas terlucutnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.Sehubungan itu, Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar bertindak bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan akhbar di sini berkata, langkah itu perlu supaya rejim tersebut segera menghormati undang-undang antarabangsa, akur resolusi PBB dan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap usaha damai oleh pelbagai pihak.

''Pengepungan berterusan ini memburukkan lagi krisis kemanusiaan di kawasan terbabit dan akan menyebabkan bencana kemanusiaan.

''Tindakan agresif Israel yang berlarutan dan mencengkam penduduk Wilayah Gaza, menafikan hak asasi mereka untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan dan tenaga, secara amnya menjadikan kehidupan yang sengsara dan tidak bermakna di Gaza,'' katanya.

Malaysia melahirkan rasa sedih dan hairan apabila melihat masyarakat antarabangsa terus berdiam diri, lesu dan tidak berusaha untuk menangani situasi kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza.

''Malaysia juga mendesak Majlis Keselamatan PBB mengetepikan perbezaan politik dan ideologi di atas nama perikemanusiaan dan menyelamatkan penduduk Gaza terutama kaum wanita dan kanak-kanak daripada tindakan agresif rejim Zionis,'' tegasnya.

Friday, November 21, 2008

PENDATANG YAHUDI CEMAR MASJIDIL AQSA, HINA NABI MUHAMMAD SAW!

Utusan Malaysia - 21 November 2008 -
HEBRON 20 Nov. - Sekumpulan pendatang haram Yahudi yang membantah perintah mahkamah Israel supaya mereka diusir dari sebuah rumah milik Palestin di bandar ini bertindak mencemarkan kesucian sebuah masjid dan merosakkan beberapa batu nisan sebelum subuh hari ini.

Pendatang itu menconteng kata-kata penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan orang Arab pada dinding depan sebuah masjid dan melukis lambang Israel, Bintang David pada beberapa batu nisan di sebuah tanah perkuburan Islam, kata saksi.
Masjid dan tanah perkuburan itu terletak dekat rumah yang terus diduduki oleh berpuluh-puluh pelampau Yahudi tanpa menghiraukan perintah Mahkamah Tinggi Israel yang memberi tempoh sehingga Rabu lepas untuk mereka beredar atau berhadapan tindakan pengusiran dari situ.

Pendatang itu mendakwa rumah empat tingkat itu telah dibeli dengan harga AS$700,000 (RM2.45 juta) daripada seorang penduduk Palestin, Faez Rajabi.

Bagaimanapun Faez menafikan dia telah menjual rumah tersebut malah menegaskan dia mempunyai dokumen yang boleh membuktikan dia adalah pemilik sah dan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian jual beli.

Mahkamah juga menyatakan, dokumen yang dikemukakan oleh pendatang Yahudi untuk membuktikan pemilikan "didapati oleh penyiasat polis sebagai palsu."

Thursday, November 20, 2008

PENGANUT ISLAM DI MALAYSIA TIDAK BOLEH TUKAR AGAMA

Berita Harian -20 November 2008-

PUTRAJAYA: Konsep kebebasan beragama tidak terpakai bagi umat Islam di negara ini, kata seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi hari ini. Datuk Faiza Tamby Chik berkata berdasarkan undang-undang di negara ini, tidak mudah bagi seorang penganut Islam untuk keluar daripada agama itu. Sambil mengambil contoh kes murtad Lina Joy, Faiza berkata dalam penghakimannya, mahkamah tinggi memutuskan bahawa mengikut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan terus kekal sebagai penganut Islam hingga akhir hayatnya.

“Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ’Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan’ pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa (ISCOM 2008) yang berakhir hari ini. Seminar dua hari anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut disertai ilmuan dari universiti Sydney, Syria dan Filipina. Kini, Faiza berkhidmat sebagai fellow di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Bekas hakim itu berkata mahkamah berkenaan juga memutuskan bahawa sekiranya seseorang bukan Melayu memeluk Islam dan kemudian membuat keputusan untuk keluar daripada agama itu, dia perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri berkenaan, yang akan membuat keputusan tentang rancangannya itu. - Bernama

Thursday, November 13, 2008

JANGAN TERLALU HARAPKAN OBAMA - HIZBULLAH

Utusan Malaysia : 13 Nov 2008

BEIRUT 12 Nov. - Pemimpin Hizbullah Lebanon, Hassan Nasrallah mengingatkan penyokongnya supaya jangan terlalu mengharapkan perubahan pada dasar luar Amerika Syarikat (AS) berikutan pemilihan Barack Obama sebagai Presiden AS.
Beliau memberi peringatan itu sewaktu berucap sempena Hari Syuhada anjuran Hizbullah di pinggir Beirut selatan, semalam.

"Dunia Arab, dunia ketiga dan dunia Afrika boleh mengaitkan diri dengan Obama disebabkan asal usulnya atau warna kulitnya tetapi politik dan kepentingan adalah soal lain.
"Jangan terlalu menaruh harapan atau memberi harapan menggunung kepada orang lain supaya tidak ada sesiapa yang akan menjadi kecewa atau tersilap langkah," kata Hassan.
Ucapan beliau disiarkan kepada beriburibu penyokong menerusi skrin televisyen besar selepas pejuang Hizbullah berarak dalam satu perbarisan ketenteraan. Orang ramai mengibarkan bendera kuning Hizbullah dan bendera kebangsaan Lebanon sambil bertepuk sorak.

"Saya tidak mahu meramalkan perkembangan akan datang tetapi secara rasionalnya kita tidak harus mengharapkan perubahan dalam soal menghapuskan kezaliman atau percaya beliau akan bersikap lebih bertolak ansur atau lebih adil berbanding Presiden terdahulu," kata Hassan merujuk kepada Obama.

Beliau bagaimanapun menyatakan keputusan pilihan raya AS itu membuktikan kegagalan dasar-dasar Presiden George W. Bush selama ini.

- AFP

Tuesday, November 11, 2008

ULAMA' SYIAH DAN SUNNI IRAQ AJAK RAKYAT BERSATU

Berita terkini :
Isnin, 10 November 2008


Ulama Syiah dan Sunni Irak menegaskan perlunya memperkuatkan persatuan di seluruh lapisan masyarakat di Irak sebagai benteng terampuh dalam melawan segala budaya dan fahaman yang merosakkan. IRIB melaporkan, ulama Syiah dan Sunni hari Isnin (10/11/08) dalam seminar kedua yang di mulai kelmarin di kota Najaf al-Asyraf mengeluarkan pernyataan yang menyeru pentingnya pengukuhan persatuan umat Islam bagi menghadapi serangan baik dari dalam mahupun dari luar.

Ulama Syiah dan Sunnia dalam pernyataan mereka menekankan pentingnya mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan hak-hak rakyat negara ini. Kepada seluruh rakyat Irak juga ditekankan untuk turut serta dalam pilihanraya wakil rakyat setiap daerah. Kenyataan yang dikeluarkan itu juga mengutuk tindakan-tindakan pengganas yang dilakukan terhadap masyarakat Irak.