Friday, October 24, 2008

PEMUDA DAN PROSES PEMBERSIHAN JIWA (TAHZIB)

Pemuda merupakan aset yang paling berharga bagi sesebuah negara, bangsa dan agama. Ini adalah dikeranakan pemuda merupakan cermin masa hadapan yang akan memberikan gambaran bagi sesebuah negara, bangsa dan agama itu bakal maju atau runtuh di masa mendatang. Sedar tidak sedar bahawa di bahu-bahu para pemuda sekarang itu sudah tergalas sebuah tanggungjawab yang amat berat yang merupakan segunung harapan dari para masyarakat, agar membangunkan dan membela sesebuah negara, bangsa dan agama.

Perlu disedari bahawa pemuda merupakan harapan seluruh masyarakat. Walaupun jika diukur dari aspek pengalaman dan umur, mereka ini masih setahun jagung, tetapi mereka lebih terikat dan dekat dengan sifat fitrah, yang membuatkan mereka lebih peka dan prihatin terhadap tuntutan fitrah dan tuntutan semasa. Imam Khomeini qs pernah dipertanyakan mengenai nama beliau yang sering diucapkan oleh pemuda Iran dan bagaimana Imam Khomeini qs menafsirkan kecintaan yang ajaib ini yang sentiasa wujud di dalam hati pemuda-pemuda Iran?. Imam Khomenei qs menjawab “Mereka telah mengindentifikasikan usaha kami seperti mana yang diinginkan oleh fitrah mereka, sudah terpenuhi pada masa lalu, dan mereka berkeyakinan bahawa kami adalah pengkhidmat mereka dan dari sisi inilah mereka mencintai kami sebagaimana kami mencintai mereka”.

Buah fikiran yang lahir dari idea pemuda merupakan satu idea yang segar dan terkini. Mereka mempunyai variasi idea-idea yang berdaya maju dan segar untuk di aplikasikan di dalam pembangunan sesebuah negara,bangsa dan agama. Ini dikeranakan oleh kekuatan daya fikiran mereka yang luar biasa pada usia ini. Kekuatan fikiran ini harus dihiasi oleh pecambahan iman dan nilai-nilai akhlak yang positif agar seluruh idea yang dimuntahkan oleh para pemuda itu bersifat positif dan bermanfaat kepada masyarakat.

Kekuatan fizikal yang dimiliki oleh pemuda merupakan satu aspek yang menyebabkan pemuda menjadi harapan masyarakat dalam memastikan pembelaan sesebuah negara, bangsa dan agama. Tidak dapat dinafikan bahawa pemuda mempunyai kekuatan fizikal melebihi golongan umur yang lain. Kiasnya, jika kita menempatkan sekumpulan pemuda di dalam kumpulan tentera pertama dan sekumpulan orang tua yang berpengalaman dalam hal pertempuran di dalam kumpulan tentera kedua. Dan setiap kumpulan dihadapkan dengan sekumpulan tentera musuh, sepakat disini akan mengatakan bahawa kumpulan pertama dimana di barisi oleh sekumpulan pemuda akan menang kerana kekuatan fizikal menyebelahi mereka, manakala kumpulan kedua akan tewas disebabkan keuzuran dan kelemahan kekuatan fizikal yang menghalang mereka untuk bertahan lama di medan tempur. Maka disebabkan oleh kekuatan fizikal yang fitrah lahir di dalam diri pemuda ini, terdapat satu taklif yang khusus bersesuaian dengan kelebihan kekuatan mereka, di mana pemuda perlu menjaga kekuatan dengan menempatkannya pada posisi yang benar untuk mendapatkan dan mengetahui tujuan yang hakiki. Perlu diperhatikan bahawa kekuatan tanpa tahzib (pembersihan jiwa) akan mengakibatkan petaka dan bencana.

Tahzib (pembersihan jiwa) merupakan satu hal yang perlu dipandang serius oleh pemuda dalam menuju dan meraih keridhaan Ilahi. Proses tahzib ini bukanlah mudah dan ia memerlukan dan menggunakan seluruh kelebihan yang ada pada pemuda, sama ada kekuatan fizikal mahu pun kekuatan rohani dalam mencapai kebersihan hati yang sebenarnya. Imam Khomeini qs pernah berkata, “Manusia ketika beransur bertambah usianya, dan dikalahkan oleh ketuaan maka semua kekuatannya akan melemah. Sebagaimana manusia menjadi lemah ketika dia menjadi tua, begitu juga kekuatan fikirannya, rohaninya, kemampuan fizikal dan hal ibadahnya juga menjadi melemah. Semua kemampuan tersebut ada pada pemuda. Wahai pemuda, padamu ada nikmat pemuda, maka ketahuilah kemampuan itu dan jangan sia-siakan nikmat ini..” Imam Khomeini qs juga berkata “Sekarang kalian muda, pada kalian terdapat kekuatan pemuda, kuasai kekuatan kalian itu. Kalian belum memiliki kelemahan fizikal sekarang ini. Kalau kalian tidak berfikir untuk mensucikan dan mentarbiyahkannya, bagaimana nanti ketika kalian sudah tua baru hendak membersihkannya dan mentarbiyahkan dan pada ketika itu kalian sudah termakan dek kelemahan, kemalasan, kedinginan badan dan jiwa. Telah hilang kekuatan iradah(keinginan), penentu dan muqawamah (pertahanan). Telah pula dibekali beban kesalahan dan maksiat yang menghitamkan hati”

Maka disini, di peringkat usia muda merupakan masa yang paling layak untuk melakukan proses tahzib dan pembenihan keimanan. Jika di waktu ini kita tidak berhasil menjalankan proses tahzib dan tidak berjaya menumbuh kesuburan iman di dalam sanubari, maka susah untuk kita mencapai hati yang bersih dan lembut di peringkat usia seterusnya. Dimana ketika waktu itu, seluruh daya upaya kita telah melemah dan hati telah menghitam dari menerima hidayah Allah disebabkan dosa-dosa lalu.

“Kamu sesungguhnya akan diuji terhadap hartamu dan dirimu..Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan” (Ali Imran: 186). Di dalam kita menelusuri kehidupan dunia yang fana ini, kita pasti akan dihadapkan oleh Allah dengan pelbagai ujian sesuai dengan firmannya seperti di atas. Justeru itu, hanya mereka yang telah menjalani proses tahzib dan menambahkan kesuburan iman agar mekar di dalam hati-hati mereka dan juga sokongan oleh kekuatan pemuda yang telah terlatih dengan nilai-nilai positif sahaja akan lulus dengan cemerlang. Sementara yang lain akan jatuh tersungkur ke dalam lembah kegagalan dan akan terputus rahmat Allah ke atas mereka.“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan muslim, laki-laki dan perempuan mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar..Allah telah menyediakan mereka ampunan dan pahala yang besar” (Al-Ahzab: 35)

Setiap pemuda yang menjalani proses tahzib dan pembenihan keimanan sejak dari usia muda adalah merupakan pemuda harapan bangsa. Mereka-mereka inilah yang akan memberi cahaya terang bagi sesebuah negara, bangsa dan agama di masa mendatang. Pemuda seperti inilah yang akan membela sesebuah masyarakat. Manakala pemuda yang terus khayal dan mengaplikasikan kekuatannya ke arah negatif akan meruntuhkan sesebuah negara, bangsa dan agama di masa mendatang. Ingatlah muda hanya sekali, maka perlu kita gunakan dengan sebaiknya demi meraih keridhaan Ilahi.

"Remaja yang rajin beribadah dan suka melakukan kebaikan lebih disayangi oleh Tuhan berbanding orang tua yang kedekut beribadah dan tidak suka melakukan amalan kebaikan" Sabda Rasulallah S.A.W

“Pembantu-pembantu Imam Mahdi(a.s) adalah dari golongan muda remaja dan mereka bukannya daripada golongan orang tua yang uzur” Hadis Imam Ali a.s

No comments: