Saturday, October 18, 2008

SEBUAH ANJURAN MENUJU MERCU KEAGUNGAN ISLAM

Jika kita amati senario dunia dewasa ini, kita akan mendapati bahawa manusia kini mengalami masalah perpaduan yang parah baik dari aspek perpaduan diantara negara, perpaduan diantara agama, bangsa, kaum dan juga dari aspek perpaduan di antara mazhab itu sendiri. Sebab itu kala ini, kita sering mendengar laungan perpaduan yang cuba di jeritkan oleh pencinta-pencinta keamanan dan juga para pejuang bangsa, agama dan negara di segenap penjuru perpecahan.

“Sebatang lidi itu mudah dipatahkan, jika segenggam lidi payah untuk dipatahkan” perumpamaan ini tepat untuk menggambarkan akan kepentingan penyatuan di antara manusia itu untuk membentuk satu jemaah yang kuat yang bisa menepis dengan mudah serangan-serangan musuh. Secara fitrahnya manusia ini mempunyai sifat memerlukan di antara satu sama lain, ini disebabkan manusia itu kekurangan dari segala aspek, justeru itu kerjasama di antara sesama manusia itu amat penting dalam menghasilkan sesuatu hasil kerja yang hebat dan mantap.

Di dalam ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W juga menganjurkan akan penyatuan di antara umatnya, menerusi firman Allah dalam surah Anbia ayat 92 yang bermaksud “Bahawasanya orang yang beragama Islam ini adalah satu Ummah dan aku (tuhan kamu) maka sembahlah kamu akan daku” jelas memberikan gambaran kepada kita bahawa Islam itu sangat mengharapkan umatnya agar bersatu dan menjaga perpaduan dan Allah mencintai akan hambanya yang menjaga perpaduan sesamanya. Selain itu juga lisan Rasulullah juga pernah bersabda: “Mukmin dinisbatkan kepada Mukmin lain umpama satu bangunan yang mana satu bahagian menguatkan bahagian yang lain”. Hadis ini memberi kita penjelasan bahawa manusia ini saling memerlukan di antara satu sama lain dan seseorang mukmin itu saling tolong-menolong sesama mukmin demi membentuk satu ummah yang kuat dan jitu.

Kita semua mengetahui bahawa kegemilangan zaman Rasulullah itu adalah disebabkan beliau berjaya menyatupadukan di antara kalangan Muhajirin dan Ansar, akibat dari sebab perpaduan inilah lahirnya satu ummat yang kuat di mana mereka berjaya menguasai semenanjung Tanah Arab dan juga menggulingkan Empayar Parsi, mereka juga telah membuat para musuh berasa gerun bukan disebabkan kecanggihan senjata ataupun kehebatan para satria bermain pedang tetapi adalah disebabkan perpaduan ataupun ukhuwah yang jitu sesama mereka yang dilandasi tauhid yang jelas.

Begitu juga dengan tertegaknya kerajaan Islam di Iran yang mana Almarhum Imam Khomeini q.s telah menjelmakan ajaran Islam yang realistik serta mencontohi pergerakkan Rasulullah di dalam gerakan revolusi yang dibawanya dalam usaha menumbangkan kerajaan Syah Iran yang zalim. Almarhum Imam Khomeini q.s telah berjaya mengeluarkan rakyat Iran dari kepompong fahaman anti-fitrah kemanusia yang menyerang rakyat Iran semasa pemerintahan rejim Syah Iran. Almarhum telah berjaya menghidupkan kembali hati-hati rakyat Iran terutamanya para pemudanya untuk sedar dari tidur yang panjang dengan memberi input-input ketauhidan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dahulu. Beliau telah berjaya menterjemahkan ketauhidan Islam di dalam kehidupan seharian baik dalam urusan politik, ekonomi mahupun budaya. Justeru itu di dalam kempennya mengembalikan manusia ke jalan fitrah dan kembali ke landasan tauhid yang hakiki beliau sering menyeru dua hal yang sangat penting iaitu perpaduan dan menentang segala bentuk penyelewengan agama.

Langkah pertama yang dilakukan oleh Almarhum dalam merealisasikan matlamat revolusi, beliau telah menyeru agar setiap lapisan masyarakat tidak mengira apa darjat sekalipun baik dia seorang ulama, pelajar, buruh kasar, kaya atau miskin agar bersatu dan beliau bukan sahaja memberi arahan tetapi beliau mengajarkan cara BERWAHDAH yang dituntut Islam serta mengaplikasikannya di dalam masyarakat. Dengan kewujudan peribadi yang luar biasa ini, beliau telah menunjukkan kepada kita dengan jelas bahawa persatuan yang dianjurkan Islam itu benar-benar berhasil dan terbukti berkesan di dalam membentuk satu ummah yang kuat.

Adapun kini semua pemimpin melaung akan slogan perpaduan, baik yang ada di timur, di barat atapun di mana sahaja posisinya di atas muka bumi ini, tetapi timbul satu pertanyaan di sini bahawa persatuan yang bagaimana yang harus kita ikuti serta kita praktikkan untuk kita jadikan sebagai landasan berwahdah?. Justeru itu Islam telah menggariskan beberapa panduan yang mana panduan ini juga telah diaplikasikan oleh Al-Marhum di dalam pergerakkan revolusinya.

1. Peka terhadap perkembangan semasa baik dalam urusan politik tempatan mahupun politik dunia.
2. Bijak dalam menyelesaikan masalah perbezaan pendapat di kalangan komuniti.
3. Menjalinkan hubungan silaturahim sesama .
4. Membudayakan sifat toleransi di antara satu sama lain.
5. Sentiasa bekerjasama dan saling tolong-menolong di antara satu sama yang lain baik di dalam keadaan susah ataupun senang.
6. Mengenal pasti dan membezakan yang mana musuh dan yang mana sahabat.
7. Perlu sentiasa berkomitmen dan istiqamah
8. Mempunyai iltizam yang tinggi di dalam keinginan memberi sumbangan kepada masyarakat dan pergerakkan mengikut kadar kemampuan sendiri.
9. Jangan pernah beranggapan bahawa diri kita lebih baik dari yang lain
10. Jangan sekali-kali menggunakan perkataan dan berbicara sesuatu yang boleh menyebabkan permusuhan di antara kalian.
11. Jangan mencari kelemahan dan kesalahan orang lain
12. Jangan pernah sekali-kali mensia-siakan dan meremehkan hasil usaha orang lain
13. Jangan sekali-kali menafikan perbuatan atau kerja baik orang lain.
14. Jangan pernah memaksa orang lain untuk menerima sesuatu perkara atas kepentingan pribadi.

Garis panduan inilah yang telah berjaya melahirkan dan membentuk jemaah yang kuat di antara para sahabat Rasulullah S.A.W ketika zaman kegemilangan Islam, begitu juga ketika peristiwa berdarah Karbala, pernah diriwayatkan “pada satu malam Asyura, Imam Hussain telah mengumpulkan semua sahabat-sahabatnya yang berada di sahara Karbala, lalu beliau berkata: ‘Tentera-tentera Yazid hanya inginkan aku bukan kalian, maka di malam ini aku telah redha kalian sebagai sahabatku dan di malam ini juga aku lepaskan kalian, pulanglah kalian kepada keluarga kalian’, lalu Imam Hussain a.s memadamkan lampu dan setelah beberapa ketika Imam Hussain a.s menghidupkan kembali lampu itu dan didapatinya tiada seorang pun dari sahabatnya yang berganjak meninggalkannya, lalu mereka semua berkata ‘apakah kami akan tetap hidup bahagia di dunia bersama keluarga sedangkan Imam kami dan pemimpin kami syahid bersama keluarganya di medan laga? Tidak sekali-kali dari kehinaan, kami akan bersamamu sehingga ketitisan darah yang terakhir”. Ini menunjukkan bahawa Imam Hussain a.s telah berjaya mewujudkan sifat persaudaraan dan perpaduan yang jitu di dalam diri para sahabat beliau, sehinggakan beliau pernah mengatakan bahawa “tidak ku kenali sahabat yang begitu baik dan setia kecuali para sahabat ku”. Begitu juga yang berlaku pada ummah di Iran. Dengan kepatuhan dan komitmen yang tinggi rakyat Iran, Almarhum Imam Khomeini q.s telah berjaya membawa rakyatnya ke satu dimensi kehidupan Islami yang hakiki selepas rakyatnya berganding bahu menumbangkan kerajaan thaghut Syah Iran.

Oleh itu, perlu kita perhatikan apakah kita mengamalkan panduan berwahdah yang dianjurkan Islam di dalam kehidupan dan pergerakan kita?. Sebagai insan yang bertauhid dan mencintai penyatuan, harusnya kita aplikasikan panduan ini demi melahirkan jemaah Islam yang kuat dan jitu seperti jemaahnya para sahabat Rasulullah S.A.W, para sahabatnya Imam Hussain a.s dan rakyat Iran, yang mana para musuh Islam tidak dapat dengan mudah menyeludup masuk untuk memecah-belahkan masyarakat Islam pada hari ini. Mari kita mulakan satu langkah yang baru dalam berwahdah dengan dilandasi tauhid yang jelas dan penyatuan cara Islam demi membentuk jemaah Islam yang bersedia menunggu kezuhuran Pemilik Zaman Ini yang mana akan dipenuhi oleh beliau cahaya kebenaran di setiap penjuru kebatilan, dan dengan beliaulah akan tertegak kembali kibaran bendera “La Ilaha illallah Muhammadun Rasulullah” di atas muka bumi ini, Insya Allah.

“Semua muslim harus mengetahui bahawa tiada masalah di dalam mengikuti mana-mana mazhab di dalam Islam dan meninggalkan fanatisme buta kepada salah satu madzhab tertentu. Agama Allah dan syariatNya tidak mengikuti salah satu madzhab tertentu atau terbatas pada madzhab tertentu. Semua pemimpin madzhab-madzhab itu adalah mujtahid dan diterima ijtihadnya oleh Allah. orang yang tidak boleh dan tidak mampu berijtihad diperbolehkan bertaqlid dan mengamalkan apa yang ada dalam fiqih mereka. Tidak ada perbezaan diantara masalah ibadah atau muamalah” Syeikh Al-Azhar Syeikh Mahmoud Syaltut.

“Seluruh kelompok dan madzhab Islam termasuk dalam barisan besar umat Islam. Mereka semua memperoleh hak-hak yang didapatkan oleh kaum muslimin. Perpecahan antar kelompok dan golongan di tengah umat Islam selain bertolak belakang dengan ajaran dan perintah Al-Qur’an Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW, juga dapat melemahkan kekuatan umat Islam. Kondisi ini akan menjadi peluang emas bagi musuh-musuh Islam. Karena itu perpecahan sangat dilarang Pemimpin kaum muslimin hari ini, Sayyid Ali Khamanei.

“Tiada barat dan tiada timur, tetapi Islam” inilah slogan Pengasas Revolusi Islam di Iran Almarhum Ruhullah Khomeini Al-Musawi.

“Seorang mukmin itu adalah cermin kepada mukmin yang lain” Sabda Rasulullah S.A.W

“Berpegang teguhlah kalian dengan tali Allah sepenuhnya dan janganlah kamu berpecah-belah” Ali-Imran ayat 103

“WAHDAH”!

No comments: