Saturday, January 3, 2009

KHUTBAH JUMAAT SOKONG PERJUANGAN PALESTIN

Utusan Malaysia -3 Jan 2008- KUALA LUMPUR. Umat Islam digesa menyokong perjuangan Palestin dengan melaksanakan beberapa langkah termasuk memboikot semua barangan keluaran syarikat berkaitan Yahudi sebagai tindak balas atas kekejaman Israel terhadap Palestin.

Gesaan itu yang terkandung dalam khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan diedarkan di masjid seluruh negara hari ini turut menasihati umat Islam agar tidak bergantung bantuan daripada orang bukan Islam.

Khutbah tersebut yang disiarkan menerusi laman web www.islam.gov.my turut meminta umat Islam membuang sikap tidak peduli tentang persoalan akidah, ibadat, syariat dan akhlak yang akhirnya menjerumuskan mereka di bawah telunjuk Yahudi dan pakatan mereka.

"Pemimpin dunia Islam perlu berani memberikan sokongan kepada Hamas dan Hizbullah yang kini berjuang untuk mempertahankan Islam dan tanah air mereka,'' ujar khutbah itu.

Dalam hubungan ini, tegasnya, amat penting bagi umat Islam menjiwai dan sensitif terhadap sebarang bentuk pencabulan harta, nyawa dan maruah Islam selain bersedia menghulurkan derma mengikut kemampuan.

Khutbah tersebut meminta masyarakat supaya menyedari hakikat bahawa Palestin merupakan tempat lahir dan tempat tinggal sebahagian besar para Rasul dan Nabi menyebarkan ajaran Islam selain kawasan terletaknya Masjid al-Aqsa.

Malah menurut khutbah tersebut, bangsa Yahudi hanya memerintah bumi Palestin selama empat kurun sahaja bermula zaman Nabi Daud, diikuti Nabi Sulaiman dan dijajah pula oleh bangsa Parsi dan Rom selepas itu.

"Sejak Yahudi menduduki Palestin pada tahun 1948 hingga kini, dianggarkan seramai 282,700 orang rakyat Palestin telah terkorban kerana mempertahankannya.

"Serangan terbaru rejim zionis Israel ke atas Palestin dalam beberapa hari ini menyebabkan kira-kira 400 orang Palestin lagi maut,'' ujar khutbah itu.

Sementara itu, di Masjid Negara pula, kira-kira 150 penyokong Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkumpul bagi membantah tindakan Israel.

Perhimpunan yang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md. Akin itu selesai dengan aman.

Perhimpunan selama setengah jam selepas solat Jumaat itu turut diawasi kira-kira 15 anggota polis.

No comments: